Monday, January 24, 2011

"Okey" atau Baiklah

      Semasa sedang mendengar pembentangan pengajaran mikro tempoh hari, perkataan Inggeris iaitu okey sering kedengaran daripada mulut rakan-rakan yang membentang. Bukan mereka sahaja, perkataan okey yang merujuk kepada istilah baiklah itu sering digunakan oleh individu-individu yang lain. Mengapa keadaan ini berlaku?

         Kata pepatah ”melentur buluh biarlah daripada rebungnya”. Pepatah ini sememangnya cukup sinonim untuk menggambarkan bahawa sesuatu itu perlu dipupuk lebih awal iaitu pada usia yang lebih muda. Namun, saya sangat memahami sebab penggunaan okey masih lagi berlaku walaupun penutur berusaha untuk bertutur secara tepat dengan menggantikannya kepada perkataan baiklah. Jawapannya adalah kebiasaan iaitu kebiasaan penutur yang menggunakan istilah tersebut. Keadaan ini menyedarkan kita bahawa, sikap mengambil mudah menyebabkan kita gagal untuk menggunakan bahasa secara tepat. Oleh itu, kita seharusnya perlu menjadikan amalan berbahasa dengan betul dan tepat sebagai satu amalan konsisten serta bukannya sekadar mengikut situasi dan masa tertentu.

Laman Sosial: Peluang dan Ruang

      Kemunculan pelbagai laman sosial seakan menjadi satu fenomena teknologi yang  pesat melanda penggunanya. Setiap kali saya, anda dan kita semua menggunakannya maka setiap kali itu juga kita dapat melihat begitu ramai pengguna di Malaysia yang  berbahasa Melayu secara carca merba.



        Contoh di atas merupakan kesilapan yang kadang kala turut saya lakukan sebagai pengguna laman sosial. Kesilapan ini perlu saya dan kita semua sedari dan menjadikan laman sosial ini sebagai media untuk pengembangan dan penggunaan bahasa secara tepat dan betul.

Iklan dan Pengaruh Berbahasa

           Sebagai seorang pelajar di Universiti Pendidikan Sultan Idris, kita sering kali melihat pelbagai bentuk iklan bercetak yang ditempatkan pada kawasan tumpuan orang ramai. Iklan yang ditempatkan ini bukan sahaja berkaitan dengan program universiti tetapi ilkan daripada pelajar sendiri yang mencari peluang untuk mendapatkan wang tambahan. Sekiranya di teliti, kebanyakkan iklan pelajar yang ditampal adalah seperti iklan pengangkutan balik pada cuti semester dan iklan sewaan rumah. Namun, perkara yang ingin saya bicarakan ini bukanlah berkaitan dengan kebijaksanaan pelajar menggunakan kesempatan yang ada, dan tidak juga untuk memuji usaha mereka itu. Perkara yang ingin saya ulas berkenaan iklan tersebut adalah berkaitan dengan bahasa yang digunakan oleh mereka.


       Sekirannya kita memerhatikan keadaan persekitaran kampus UPSI, kita dapat melihat banyak iklan seperti gambar di atas yang ditempatkan di kawasan tumpuan pelajar. Keadaan ini menjadi lebih rancak apabila hampir tiba musim cuti semester. Bahasa yang digunakan dalam iklan tersebut memperlihatkan kepada kita bahawa pemiliknya langsung tidak mengambil berat soal penggunaan bahasa dengan betul dan tepat. Bahasa Melayu yang digunakan bercampur-aduk dengan bahasa Inggeris.

     Sikap memandang remeh soal bahasa menjadikan pengguna bahasa seperti pemilik iklan di atas tidak mementingkan aspek penggunaan bahasa yang betul dan ia boleh mempengaruhi pengguna bahasa yang lain kerana fungsi iklan sememangnya diketahui cukup berpengaruh. Oleh itu, kepentingan penggunaaan bahasa perlu dititik beratkan dalam iklan  untuk menjadi sebagai media yang mampu mempengaruhi pelajar lain untuk berbahasa dengan betul dan yang lebih penting ia juga menggambarkan pemikiran terpelajar terhadap mahasiswa dan mahasiswi itu sendiri.. 

Kesantunan Berbahasa

Perkara yang ingin saya perkatakan kali ini adalah berkaitan dengan kata panggilan atau kata sapaan yang sering digunakan. Semasa di kampus saya mendengar seorang rakan menegur rakan yang lain dengan sapaan ”woi”.

            Rakan A : Woi, kau orang nak pergi mana tu?
            Rakan B : Apa woi-woi, ingat orang tak ada name ke? (dengan nada gurau)

Dalam bahasa Melayu, wujud kata sapaan dalam pelbagai bentuk berasaskan kesantunan kita berbahasa. Namun, kadang kala kita lebih cenderung untuk menggunakan kata sapaan yang memperlihatkan kesantunan yang rendah dengan alasan orang yang disapa mempunyai hubungan yang rapat dan tidak terlalu mementingkan soal kesantunan tersebut.

Kita sering mendengar dan mengalami keadaan di atas iaitu orang memanggil seseorang dengan menggunakan kata sapaan yang mempunyai tahap kesantunan yang rendah iaitu ”woi”. Dalam konteks ini, kita kadang kala terlalu mengambil ringan dalam soal menyapa orang lain walaupun dengan rakan. Mungkin kata sapaan ”woi” ini tidak menimbulkan kesan yang negatif apabila di sapa oleh orang yang rapat seperti teman-teman. Apabila orang yang tidak dikenali memanggil kita dengan  sapaan seperti itu maka kita akan mudah melenting. Hal ini kerana, ”woi” itu sudah memberi persepsi yang tidak sopan. Namun, apabila ia digunakan kepada rakan adakah persepsinya akan bertukar kepada positif? Maka jawapannya adalah tidak sama sekali. Kita perlu menggunakan kata sapaan yang memperlihatkan rasa hormat kita terhadap orang yang disapa.

Monday, January 17, 2011

Sekapur Sirih (Prakata)

Assalamualaikum

       Blog yang dihasilkan ini sememangnya  sesuatu yang sangat diharapkan. Sebelum ini ada juga percubaan daripada diriku untuk menghasilkan blog bagi berkongsi penulisan yang pelbagai bentuk sama ada penulisan peribadi mahupun yang bersifat ilmiah. Namun, percubaan untuk menghasilkan blog tersebut gagal disebabkan pelbagai kekangan dari segi masa dan kebolehan diriku mengendalikan laman maya ini sehinggalah penghasilan blog menjadi tugasan wajib dalam kursus yang diambil oleh diriku pada semester ini. Sudah menjadi adat manusia biasa apabila perkara tersebut wajib untuk dilaksanakan barulah diri kita berusaha seboleh mungkin menghasilkannya walaupun pelbagai kekangan yang berlaku. Hasilnya, lahirlah blog ilmiah ini yang lebih cenderung untuk memperkatakan berkenaan dengan ilmu sosiolinguistik.
            Pemilihan nama blog ini  iaitu “Ilmu Warisan Za’ba” adalah bagi memberikan penghargaan terhadap tokoh bahasa ini dan suntikan semangat terhadap diriku yang menjadi penggerak kepada blog ini untuk menghasilkan penulisan yang berkaitan bahasa dan masyarakat dengan kualiti semangat daripada tokoh bahasa ini. Za’ba merupakan tokoh bahasa yang sangat diri ini kagumi. Ilmu yang dimiliki dan disampaikan kepada masyarakat melalui penulisannya telah berjaya membentuk dan meningkatkan martabat bahasa Melayu dan kajiannya pada satu tahap yang lebih tinggi. Kelahiran Za’ba pada ketika itu seperti anugerah untuk bidang keintelektualan Melayu yang mampu menyumbang sesuatu yang sangat berharga kepada masyarakat.
            Justeru, penghasilan blog ini dan bekalan daripada ilmu dan semangat tokoh bahasa Za’ba mampu memberi suatu input yang berguna kepada pembaca blog terutama yang berkaitan dengan hal kebahasaan dan masyarakat (sosiolinguitik)